[ 2014 ]
12/8/2014
News Coverage on 3 Dec 2014
11/4/2014
GST Important Notice
9/2/2014
Music Licensing Confusion (Tamil)
9/2/2014
Music Licensing Confusion (Mandarin)
9/2/2014
Music Licensing Confusion (English)
9/2/2014
Kekeliruan Tentang Pelesenan Muzik
[ 2010 ]
5/30/2010
貿消局接歌曲版權單位投訴 手機店涉侵權遭取締
1/15/2010
非法下載歌曲通緝女子 貿部突擊住家.罪成可罰6億

:\\ PPM NEWS

Kekeliruan Tentang Pelesenan Muzik
By :


9/2/2014

KENYATAAN MEDIA

KEKELIRUAN TENTANG PELESENAN MUZIK

 

2hb September 2014, Kuala Lumpur - Isu pelesenan muzik kolektif dalam pasaran Malaysia baru-baru ini mendapat perhatian dan mengelirukan orang ramai, dengan banyak pertanyaan ditujukan kepada Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM), badan muzik pelesenan kolektif yang mewakili syarikat rakaman muzik yang juga bertindak sebagai ejen pelesenan eksklusif bagi Recording Performers Malaysia Bhd (RPM).

RPM yang dipengerusikan oleh Dato’ Hajjah Sheila Majid ditubuhkan pada tahun 2011 untuk mewakili pelaku dan pemuzik rakaman. RPM mendapat sokongan dari semua badan utama industri muzik termasuk Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Music Authors’ Copyright Protection (MACP) Berhad, PPM dan Persatuan Karyawan Malaysia (sila rujuk kenyataan media bersama yang dikeluarkan pada 16 Ogos 2013).

Sebagai maklumbalas kepada isu yang sedang hangat diperkatakan ini, Ketua Pegawai Eksekutif RIM dan PPM, Encik Ramani Ramalingam berkata, “Kami sedar bahawa terdapat kebimbangan dalam pasaran yang kelihatan berpunca dari kewujudan dua badan-badan pelesenan kolektif yang telah diisytiharkan secara rasmi di bawah Peraturan Hak Cipta (Badan Pelesenan) 2012 untuk mewakili kategori pemegang hak yang sama iaitu pelaku rakaman.”

"Industri kami masih berpendapat bahawa hanya satu badan pelesenan patut mewakili pelaku rakaman, sama dengan MACP yang mewakili penulis lagu dan PPM yang mewakili syarikat-syarikat rakaman masing-masing sejak 1989 dan 1988. Pendirian PPM dalam bertindak untuk dan menyokong RPM sepenuhnya dari 1 Januari 2012 menggantikan PRISM Sdn Bhd yang tidak lagi berfungsi (badan pelesenan yang sebelum ini mewakili pelaku rakaman) adalah selaras dengan pendapat ini di samping mengekalkan kadar pasaran untuk hak pelaku yang telah dilaksanakan dan diterima sejak 2003," tambah beliau.

"Kami telah merayu kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja Bersama Badan Pelesenan Muzik untuk menangani keadaan semasa yang dihadapi oleh pengguna muzik komersial di seluruh negara dan kami berharap penyelesaian yang memuaskan akan dapat dicapai untuk kebaikan semua pihak yang berkenaan," kata Ramani.

PPM mewakili hak eksklusif untuk, antara lain, persembahan awam bunyi, video muzik dan rakaman karaoke di bawah Akta Hak Cipta 1987 ("Akta") yang menarik liabiliti sivil dan jenayah bagi pelanggaran.

RPM dan PRISM Bhd (sebuah lagi badan pelesenan yang telah ditubuhkan dan diisytiharkan selepas RPM), kedua-duanya mewakili hak saraan saksama (bayaran adil) pelaku rakaman untuk persembahan awam dan penyiaran rakaman di bawah Seksyen 16B Akta tersebut.

Ramani juga menyatakan bahawa PPM akan terus memenuhi tanggungjawabnya kepada ahli-ahli syarikat rakaman RIM dan ahli-ahli pelaku rakaman RPM. Pengguna muzik komersial boleh menghubungi pasukan pelesenan PPM pada bila-bila masa mengenai kewajipan pelesenan muzik mereka untuk PPM dan RPM.

Tentang PRISM Bhd, beliau memaklumkan bahawa RIM dan PPM telah menyaman PRISM Bhd bagi kesalahan salah nyata dan pelanggaran hak cipta, di mana kes tersebut telah dijadualkan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi pada akhir bulan September 2014. RIM dan PPM dengan itu tidak akan mengulas mengenai PRISM Bhd dan aktivitinya buat masa ini.

Untuk pertanyaan lain, beliau menasihatkan pemilik perniagaan untuk menghubungi pihak berkuasa kerajaan sama ada secara langsung atau melalui persatuan perdagangan mereka sekiranya perlu.

Pengenalan kepada pertubuhan berkaitan:

RIM

Persatuan Industri Rakaman Malaysia

Ditubuhkan pada 1978 dan mewakili lebih 300 syarikat dan perniagaan rakaman tempatan yang terlibat dalam pengeluaran, pengilangan dan pengedaran rakaman bunyi, video muzik dan rakaman karaoke tempatan dan antarabangsa. Ianya mewakili 95% semua rakaman sah yang terdapat secara komersial dalam pasaran muzik Malaysia.

www.rim.org.my

 

PPM

Public Performance Malaysia Sdn Bhd

Badan pelesenan yang ditubuhkan pada tahun 1988 untuk mewakili ahli-ahli RIM berkenaan dengan pelesenan kolektif persembahan awam, penyiaran rakaman, pengeluaran semula dan penyewaan komersial bunyi, video muzik dan rakaman karaoke mereka yang dilindungi hak cipta di Malaysia.

www.ppm.org.my

MACP

 

Music Authors’ Copyright Protection (MACP) Berhad

Ditubuhkan pada 1989 dan mewakili lebih 3,100 komposer, penulis lirik dan penerbit muzik dalam melesenkan pengguna-pengguna muzik dan mengagihkan royalty kepada pencipta dan penerbit muzik apabila karya mereka disiarkan dan dipersembahkan di tempat awam atau diterbitkan semula dalam persekitaran digital. Melalui perjanjian dua hala dengan pertubuhan-pertubuhan lain yang serupa di seluruh dunia, MACP juga melesenkan karya muzik antarabangsa milik organisasi-organisasi ini di Malaysia.

www.macp.com.my

RPM

Recording Performers Malaysia Berhad

Sebuah syarikat terhad dengan jaminan di bawah Akta Syarikat 1965 dengan fungsi sebagai badan pelesenan mewakili artis dan pemuzik rakaman untuk mentadbir secara kolektif pengeluaran lesen dan pengagihan royalti berkenaan hak saraan saksama yang diberikan untuk kegunaan komersial persembahan pelaku.

www.rpm.my

 

Untuk keterangan lanjut mengenai kenyataan media di atas, sila layari www.rim.org.my, www.ppm.org.my dan www.rpm.my atau hubungi:

 

Ramani Ramalingam
Ketua Pegawai Eksekutif
Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM)
Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM)
Emel: ramani@rimgroup.my
Telefon: 603-62072838